Pengenalan

Bahagian I

Bahagian III

Bahagian V Bahagian VII

Susunan Seksyen

Bahagian II

Bahagian IV Bahagian VI Bahagian VIII
Bahagian II

BAHAGIAN II

PENUBUHAN BADAN, PELANTIKAN DAN KUASA

Penubuhan Badan Pencegah Rasuah dan pelantikan Ketua Pengarah Badan itu.

3. (1) Bagi maksud Akta ini, maka inilah ditubuhkan
Badan Pencegah Rasuah.

(2) Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat
Perdana Menteri, melantik seorang Ketua Pengarah Badan
Pencegah Rasuah dari kalangan anggota perkhidmatan
awam untuk selama apa-apa tempoh dan atas apa-apa
terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam
suratcara pelantikannya.

(3) Tempoh pelantikan Ketua Pengarah tidak boleh
melewati tarikh persaraan wajibnya daripada perkhidmatan
awam, tetapi jika dia mencapai umur persaraan wajib itu
dia boleh dilantik semula sebagai Ketua Pengarah oleh
Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri,
secara kontrak selama apa-apa tempoh dan atas apa-apa
terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam
suratcara pelantikannya.

(4) Ketua Pengarah hendaklah, dalam tempoh
pelantikannya sebagaimana yang dinyatakan dalam
suratcara pelantikannya, memegang jawatan selama
diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, tertakluk
kepada nasihat Perdana Menteri.

(5) Ketua Pengarah hendaklah, selama tempoh
jawatannya sebagai Ketua Pengarah, disifatkan sebagai
anggota perkhidmatan awam am Persekutuan bagi maksud-
maksud tatatertib.

(6) Ketua Pengarah hendaklah bertanggungjawab bagi
arahan, kawalan dan pengawasan segala perkara yang
berhubungan dengan Badan.

(7) Ketua Pengarah hendaklah, sebelum mula
menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab jawatannya,
membuat, di hadapan Yang di-Pertuan Agong dengan
cara yang diakuinya sebagai yang paling mengikat
perasaan hati nuraninya, suatu akuan sebagaimana yang
ditetapkan oleh Menteri melalui kaedah-kaedah yang
dibuat di bawah subseksyen 60(2).

(8) Maka hendaklah dikeluarkan kepada Ketua
Pengarah suatu perakuan pelantikan dalam bentuk kad
kuasa sebagai keterangan tentang pelantikannya.

Akta 271. (9) Orang yang sebelum saja permulaan kuatkuasa
Akta ini memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Badan
Pencegah Rasuah yang dilantik di bawah subseksyen 3(2)
Akta Badan Pencegah Rasuah 1982 hendaklah, apabila
Akta ini mula berkuatkuasa, disifatkan telah dilantik
sebagai Ketua Pengarah di bawah subseksyen (2) untuk
selama baki tempoh pelantikannya di bawah Akta tahun
1982 itu, dan kehendak subseksyen (7) hendaklah
disifatkan telah dipenuhi.

Pelantikan pegawai- pegawai lain Badan.


4. (1) Maka hendaklah dilantik apa-apa bilangan
Pesuruhjaya, Timbalan Pesuruhjaya, Penolong Kanan
Pesuruhjaya, Penolong Pesuruhjaya, Penguasa Kanan,
Penguasa, Penolong Kanan Penguasa, Penolong Penguasa,
Penyiasat Kanan, dan Penyiasat Badan sebagaimana yang
perlu bagi maksud melaksanakan peruntukan-peruntukan
Akta ini.

(2) Seseorang pegawai yang dilantik di bawah
subseksyen (1) hendaklah mempunyai apa-apa kuasa yang
diperuntukkan baginya di bawah Akta ini dan hendaklah
tertakluk kepada arahan, kawalan dan pengawasan Ketua
Pengarah atau mana-mana pegawai lain Badan yang lebih
tinggi pangkatnya daripadanya, dan hendaklah menjalankan
kuasa-kuasanya, melaksanakan fungsi-fungsinya dan
menunaikan kewajipan-kewajipannya dengan mematuhi
apa-apa arahan atau petunjuk yang dinyatakan secara
lisan atau bertulis oleh Ketua Pengarah atau mana-mana
pegawai lain Badan yang lebih tinggi pangkatnya
daripadanya.

(3) Semua pegawai Badan yang dilantik di bawah
subseksyen (1) ialah anggota perkhidmatan awam
Persekutuan.

(4) Tiap-tiap pegawai Badan yang dilantik di bawah
subseksyen (1) hendaklah apabila mula-mula menyertai
Badan dan sebelum mula menjalankan tugas-tugas dan
tanggungjawab jawatannya membuat, di hadapan seorang
pegawai Badan yang berpangkat Penguasa Kanan atau
yang lebih tinggi mengikut cara yang diakuinya sebagai
yang paling mengikat perasaan hati nuraninya, suatu
akuan sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri melalui
kaedah-kaedah yang dibuat di bawah subseksyen 60(2).

(5) Perakuan pelantikan dalam bentuk kad kuasa
hendaklah dikeluarkan kepada tiap-tiap pegawai Badan
yang dilantik di bawah subseksyen (1) dan kad itu
hendaklah ditandatangani oleh Ketua Pengarah dan
hendaklah menjadi keterangan prima facie tentang
pelantikannya di bawah Akta ini.

Akta 271. (6) Apabila Akta ini mula berkuatkuasa, tiap-tiap
orang yang memegang jawatan di bawah Akta Badan Pencegah
Rasuah 1982 hendaklah disifatkan sebagai pegawai Badan
yang dilantik di bawah seksyen ini dan kehendak-kehendak
subseksyen (4) hendaklah disifatkan telah dipenuhi, dan
tiap-tiap pegawai itu hendaklah memegang apa-apa gelaran
jawatan di bawah subseksyen (1) sebagaimana yang
ditentukan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam
Warta.

Pengemukaan kad kuasa

5. Tiap-tiap pegawai Badan, apabila bertindak di bawah
Akta ini, hendaklah, apabila diminta, mengisytiharkan
jawatannya dan mengemukakan kepada orang yang
terhadapnya dia bertindak atau yang daripadanya dia
meminta apa-apa maklumat kad kuasa yang dikeluarkan
kepadanya di bawah Akta ini.

Pegawai disifatkan sentiasa bertugas.

6. Tiap-tiap pegawai Badan hendaklah, bagi maksud Akta
ini, disifatkan sentiasa bertugas apabila dikehendaki
melaksanakan kewajipan atau fungsi-fungsinya dan boleh
melaksanakan kewajipan-kewajipan dan menjalankan
kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Akta
ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis
lain di mana-mana tempat di dalam atau di luar Malaysia.

Kuasa pegawai Badan.

Akta 344.
7. (1) Sebagai tambahan kepada dan tanpa menjejaskan
kuasa-kuasa, kewajipan-kewajipan dan fungsi-fungsi yang
diberikan di bawah Akta ini, seseorang pegawai Badan
hendaklah mempunyai, bagi maksud Akta ini, segala kuasa
dan kekebalan seorang pegawai polis yang dilantik di
bawah Akta Polis 1967.

(2) Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (I)-

(a) seseorang pegawai Badan yang berpangkat
Penguasa dan yang lebih tinggi hendaklah
mempunyai segala kuasa seorang pegawai polis
yang berpangkat Penolong Penguasa Polis atau
yang lebih tinggi;

(b) seseorang Penolong Kanan Penguasa dan
seseorang Penolong Penguasa Badan hendaklah
mempunyai segala kuasa seorang pegawai polis
yang berpangkat Inspektor atau yang lebih
tinggi; dan

(c) seseorang Penyiasat Kanan dan seseorang
Penyiasat hendaklah mempunyai semua kuasa
seorang pegawai polis yang berpangkat Sarjan
atau yang lebih tinggi.

(3) Jika dalam masa apa-apa penyiasatan atau
prosiding di mahkamah berkenaan dengan pelakuan sesuatu
kesalaban di bawah Akta ini oleh mana-mana orang,
terzahir suatu kesalahan di bawah mana-mana undang-
undang bertulis lain, yang tidak menjadi kesalahan di
bawah Akta ini, tidak kira sama ada kesalahan itu
dilakukan oleh orang yang sama atau mana-mana orang
lain, pegawai Badan yang bertanggungjawab bagi
penyiasatan atau prosiding itu, mengikut mana-mana yang
berkenaan, hendaklah memaklumkan Pendakwa Raya yang
boleh mengeluarkan apa-apa arahan yang difikirkannya
patut.

(4) Bagi maksud Akta ini-

(a) jika sesuatu perintah, perakuan atau apa-apa
perbuatan lain dikehendaki supaya diberikan,
dikeluarkan atau dilakukan oleh seseorang
pegawai penjaga Daerah Polis di bawah mana-
mana undang-undang bertulis, perintah, perakuan
atau perbuatan itu boleh diberikan, dikeluarkan
atau dilakukan oleh seorang pegawai kanan
Badan, dan bagi maksud itu, tempat perintah,
perakuan atau perbuatan itu diberikan,
dikeluarkan atau dilakukan hendaklah disifatkan
sebagai Daerah Polis di bawah jagaannya;

(b) seseorang pegawai Badan hendaklah mempunyai
segala kuasa yang diberikan kepada seseorang
pegawai penjaga balai polis di bawah mana-
mana undang-undang bertulis, dan bagi maksud
itu pejabat pegawai itu hendaklah disifatkan
sebagai balai polis.

N.M.B.
Bab 6.
Akta 7. (5) Bagi mengelakkan keraguan, adalah diisytiharkan
bahawa bagi maksud Akta ini, seseorang pegawai Badan
hendaklah mempunyai segala kuasa seorang pegawai polis
tidak kira apa jua pangkatnya sebagaimana yang
diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah dan
Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang-Orang yang Tak
Diingini 1969 dan kuasa itu adalah tambahan kepada
kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta ini dan bukan
pengurangannya, tetapi sekiranya terdapat ketakselarasan
atau percanggahan antara peruntukan Akta ini dengan
peruntukan Kanun Tatacara Jenayah, peruntukan Akta
ini hendaklah mengatasi peruntukan Kanun itu.

kewajipan pegawai Badan.

8. Maka adalah menjadi kewajipan Ketua Pengarah dan
pegawai-pegawai Badan untuk-

(a) menerima dan menimbangkan apa-apa aduan
tentang pelakuan kesalahan di bawah Akta ini
dan menyiasat mana-mana aduan itu sebagaimana
yang difikirkan praktik oleh Ketua Pengarah
atau pegawai-pegawai itu;

(b) mengesan dan menyiasat-

(i) apa-apa kesalahan yang disyaki di bawah
Akta ini;

(ii) apa-apa percubaan yang disyaki untuk
melakukan apa-apa kesalahan di bawah
Akta ini; dan

(iii) apa-apa komplot yang disyaki untuk
melakukan apa-apa kesalahan di bawah
Akta ini;

(c) meneliti amalan, sistem dan tatacara badan-
badan awam untuk memudahkan penemuan kesalahan
di bawah Akta ini dan untuk menghasilkan kajian
semula amalan, sistem atau tatacara itu yang
pada pendapat Ketua Pengarah mungkin
membawa kepada rasuah;

(d) mengarahkan, menasihati dan membantu mana-
mana orang, atas permintaan orang itu, tentang
cara-cara bagaimana rasuah dapat dihapuskan
oleh orang itu;

(e) menasihati ketua badan-badan awam tentang apa-
apa perubahan dalam amalan, sistem atau
tatacara yang sesuai dengan penunaian berkesan
kewajipan-kewajipan badan-badan awam itu
sebagaimana yang difikirkan perlu oleh Ketua
Pengarah untuk mengurangkan kemungkinan
berlakunya rasuah;

(f) mendidik orang ramai untuk menentang rasuah;
dan

(g) mendapatkan dan memelihara sokongan orang
ramai dalam memerangi rasuah.

Perintah- perintah tetap.


9. Ketua Pengarah boleh mengeluarkan perintah-perintah
pentadbiran yang disebut "Perintah-Perintah Tetap", yang
selaras dengan peruntukan-peruntukan Akta ini, tentang
kawalan am, latihan, tugas dan tanggungjawab pegawai-
pegawai Badan, dan bagi apa-apa perkara lain yang perlu
atau suai-manfaat untuk pentadbiran baik Badan atau
bagi mencegah penyalahgunaan kuasa atau pengabaian
dalam tugas, dan pada amnya untuk memastikan Badan
berfungsi dengan cekap dan berkesan.