Pengenalan

Bahagian I

Bahagian III

Bahagian V Bahagian VII

Susunan Seksyen

Bahagian II

Bahagian IV Bahagian VI Bahagian VIII
Bahagian I

BAHAGIAN I

PERMULAAN

Tajuk ringkas dan mula berkuatkuasa

1. Akta ini bolehlah dinamakan Akta Pencegahan Rasuah
1997 dan hendaklah mula berkuatkuasa pada tarikh yang
ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam
Warta.

Tafsiran
2. Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya
menghendaki makna yang lain-

"ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri" termasuklah
seseorang pegawai badan awam yang menjadi anggota
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri oleh sebab jawatannya;

"anggota pentadbiran" mempunyai erti yang diberikan
kepadanya dalam Fasal 160(2) Perlembagaan Persekutuan;

"Badan" ertinya Badan Pencegah Rasuah yang
ditubuhkan di bawah seksyen 3;

"badan awam" termasuklah-
(a) Kerajaan Malaysia;

(b) Kerajaan sesuatu Negeri;

(c) mana-mana pihak berkuasa tempatan dan mana-
mana pihak berkuasa berkanun yang lain;

(d) mana-mana jabatan, perkhidmatan atau
Pengusahaan Kerajaan Malaysia, Kerajaan
sesuatu Negeri atau sesuatu pihak berkuasa
tempatan;

(e) mana-mana syarikat yang kuasa untuk
mengawalnya terletak pada mana-mana badan
awam yang disebut dalam perenggan (a), (b),
(c) atau (d);

(f) mana-mana pertubuhan, kesatuan, organisasi
atau badan yang ditetapkan oleh Menteri dari
semasa ke semasa melalui perintah yang
disiarkan dalam Warta;

Akta 372.
"bank" ertinya bank, syarikat kewangan, bank saudagar,
atau syarikat diskaun, yang dilesenkan di bawah Akta
Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, atau mana-
mana institusi kewangan lain yang ditubuhkan atau
dilesenkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis
lain atau mana-mana koperasi yang didaftarkan atau
disifatkan telah didaftarkan di bawah Akta Koperasi 1993;

Akta 502.
"buku jurubank" termasuklah lejar, buku harian, buku
tunai, buku akaun dan segala buku dan dokumen lain
yang digunakan dalam perjalanan biasa urusan sesuatu
bank;

"ejen" ertinya mana-mana orang yang diambil kerja
oleh atau bertindak bagi seorang lain, dan termasuklah
pegawai badan awam atau pegawai yang berkhidmat dalam
atau di bawah m ana-mana badan awam, pemegang amanah,
pentadbir atau wasi harta pusaka seseorang yang sudah
mati, subkontraktor, dan mana-mana orang yang diambil
kerja oleh atau yang bertindak bagi pemegang amanah,
pentadbir atau wasi, atau subkontraktor itu;

"harta" ertinya apa-apa jenis harta tanah atau harta
alih, termasuk wang, sama ada terletak di Malaysia atau
di tempat lain, sama ada ketara atau tak ketara, dan
termasuklah sesuatu kepentingan dalam mana-mana harta
tanah atau harta alih itu;


Akta 372.
"institusi kewangan" ertinya mana-mana orang yang
pada hakikatnya, dengan cara yang sah atau tidak sah,
menjalankan apa-apa perniagaan bank atau perniagaan
syarikat kewangan sebagaimana yang ditakrifkan dalam
Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989;

"instrumen wang" ertinya syiling atau mata wang
Malaysia atau mana-mana negara lain, cek kembara, cek
peribadi, cek bank, kiriman wang, cagaran pelaburan atau
instrumen boleh niaga dalam bentuk pembawa atau
selainnya dalam sedemikian bentuk sehingga, hakmilik
baginya berpindah apabila diserahkan atau apabila
diserahkan dan diendorskan;

"kesalahan di bawah Akta ini" termasuklah sesuatu
kesalahan ditetapkan;

Akta 574.
"kesalahan ditetapkan" ertinya-

(a) kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen
161, 162, 163, 164, 165, 213, 214 atau 215
Kanun Keseksaan;

Akta 235.
(b) kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen
137 Akta Kastam 1967;

Akta 5.
(c) kesalahan di bawah Bahagian III Akta Kesalahan
Pilihanraya 1954;

(d) apa-apa kesalahan yang ditetapkan oleh Menteri
di bawah subseksyen 60(1);

(e) sesuatu percubaan untuk melakukan mana-mana
kesalahan yang diperuntukkan dalam perenggan
(a) hingga (d); atau

Akta 574.
(f) sesuatu persubahatan atau komplot jenayah untuk
melakukan (sebagaimana istilah itu ditakrifkan
dalam Kanun Keseksaan) mana-mana kesalahan
yang diperuntukkan dalam perenggan (a) hingga
(d), sama ada atau tidak kesalahan itu
dilakukan berbangkit daripadanya;

"Ketua Pengarah" ertinya Ketua Pengarah Badan yang
dilantik di bawah subseksyen 3(2);

"Menteri" ertinya Menteri yang bertanggungjawab bagi
Badan Pencegah Rasuah;

"pegawai Badan" termasuklah Ketua Pengarah dan
mana-mana pegawai yang dilantik di bawah subseksyen
4(1);

"pegawai badan awam" ertinya mana-mana orang yang
menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pengkhidmat
sesuatu badan awam, dan termasuklah anggota pentadbiran,
ahli Parlimen, ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri, hakim
Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah
Persekutuan, dan mana-mana orang yang menerima apa-
apa saraan daripada wang awam, dan jika badan awam
itu ialah suatu perbadanan seorang, termasuklah orang
yang diperbadankan sebagai perbadanan itu;

"pegawai kanan Badan" ertinya Ketua Pengarah, dan
Pesuruhjaya, Timbalan Pesuruhjaya, Penolong Kanan
Pesuruhjaya, Penolong Pesuruhjaya, Penguasa Kanan, dan
Penguasa Badan yang dilantik di bawah subseksyen 4(1);

"pembeli dengan suci hati dengan balasan berharga"
ertinya mana-mana penerima pindahan, penerima serahhak,
pemegang gadaian, pemegang gadai-janji, pemegang
sandaran, pemegang lien, atau penerima pajak, mana-
mana harta jika pemindahan, penyerahhakan, gadaian,
gadai-janji, sandaran, lien atau pajakan itu telah
diperolehnya dengan membayar balasan yang memadai
dalam bentuk wang atau nilai wang, tanpa notis bahawa
harta itu telah diperoleh berbangkit daripada pelakuan
apa-apa kesalahan di bawah Akta ini;

"perniagaan" ertinya apa-apa kegiatan yang dijalankan
bagi maksud mendapat laba atau untung dan termasuklah
segala harta yang didapati daripada, atau yang digunakan
dalam atau bagi maksud penjalanan kegiatan itu, dan
segala hak dan liabiliti yang berbangkit daripada
kegiatan itu;

"pihak berkuasa berkanun" ertinya sesuatu pihak
berkuasa, sama ada terdiri daripada orang seorang atau
kumpulan orang, yang ditubuhkan melalui undang-undang
Persekutuan atau Negeri dan menjalankan kuasa,
menunaikan kewajipan atau melaksanakan fungsi yang
diberikan kepada pihak berkuasa itu oleh mana-mana
undang-undang Persekutuan atau Negeri;

Akta 171.
"pihak berkuasa tempatan" mempunyai erti yang
diberikan kepadanya dalam seksyen 2 Akta Kerajaan
Tempatan 1976;

"prinsipal" termasuklah mana-mana majikan, mana-
mana benefisiari di bawah sesuatu amanah, mana-mana
estet amanah, mana-mana orang yang mempunyai
kepentingan benefisial dalam pusaka seseorang yang sudah
mati, pusaka seseorang yang sudah mati, dan, dalam hal
mana-mana orang yang berkhidmat dalam atau di bawah
sesuatu badan awam, badan awam itu;

"saudara", berhubungan dengan seseorang, ertinya-

(a) isteri atau suami orang itu;

(b) adik atau abang atau kakak orang itu;

(c) adik atau abang atau kakak isteri atau suami
orang itu; atau

(d) mana-mana ibu bapa dan nenek moyang atau
keturunan sezuriat orang itu;

"sekutu", berhubungan dengan seseorang, ertinya-

(a) mana-mana orang yang merupakan penama atau
pekerja orang itu;

(b) mana-mana orang yang menguruskan hal-ehwal
orang itu;

(c) mana-mana firma yang orang itu, atau mana-
mana penamanya, menjadi pekongsinya atau
orang yang bertanggungjawab baginya atau yang
mengawal perniagaannya atau hal-ehwalnya;

Akta 125.
(d) mana-mana perbadanan mengikut pengertian
Akta Syarikat 1965, yang orang itu, atau mana-
mana penamanya, menjadi pengarahnya atau
bertanggungjawab baginya atau mengawal
perniagaan atau hal-ehwalnya, atau yang
dalamnya orang itu, bersendirian atau bersama
dengan mana-mana penamanya, mempunyai
kepentingan mengawal, atau syer yang nilainya
berjumlah tidak kurang daripada tiga puluh
peratus daripada modal terbitan keseluruhan
perbadanan itu; atau

(e) pemegang amanah mana-mana amanah, jika-

(i) amanah itu telah diwujudkan oleh orang
itu; atau

(ii) nilai keseluruhan aset yang disumbangkan
oleh orang itu kepada amanah itu pada
bila-bila masa, sama ada sebelum atau
selepas amanah itu diwujudkan,
berjumlah, pada bila-bila masa, tidak
kurang daripada dua puluh peratus
daripada keseluruhan nilai aset amanah
itu;

"suapan" ertinya-

(a) wang, derma, alang, pinjaman, fee, hadiah,
cagaran berharga, harta atau kepentingan
mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama
ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat
seumpama itu yang lain;

(b) apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak
pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa
perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau
memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat;

(c) apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau
penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau
liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau
sebahagian daripadanya;

(d) apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun,
komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan;

(e) apa-apa perbuatan menahan diri daripada
menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau
benda berharga;

(f) apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan
lain, seperti perlindungan daripada apa-apa
penalti atau ketakupayaan yang dikenakan atau
yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan
atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil
atau jenayah, sama ada atau tidak sudah
dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan
diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-
apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan

(g) apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada
bersyarat atau tidak bersyarat, untuk
memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana
perenggan (a) hingga (f) yang terdahulu;

"urus niaga" termasuklah-

(a) apa-apa belian, jualan, pinjaman, gadaian,
gadai-janji, lien, sandaran, kaveat, pindah
milik, serahan, serahhak, subrogasi, pindahan,
alang, derma, amanah, peruntukan, deposit,
pengambilan keluar, pemindahan antara akaun,
atau pelanjutan kredit;

(b) apa-apa pewakilan atau pemberian surat kuasa
wakil; dan

(c) apa-apa perbuatan yang menghasilkan apa-apa
hak, kepentingan, hakmilik atau keistimewaan,
sama ada pada masa sekarang atau akan datang
atau sama ada terletakhak atau kontingen, dalam
semua atau sebahagian daripada mana-mana harta
yang diberikan kepada mana-mana orang.